MENU

Universiti Utara Malaysia

Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan universiti keenam ditubuhkan di Malaysia. UUM ditubuhkan secara rasmi pada 16 Februari 1984 di bawah Perbadanan Universiti Utara Malaysia dan menggunakan cogan kata “Ilmu, Budi, Bakti”. Visi UUM adalah untuk menjadi sebuah universiti pengurusan yang terkenal, manakala misi UUM adalah kearah merealisasikan Universiti Utara Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan secara berterusan demi menghasilkan modal insan yang mampu dan beriltizam membangunkan negara dan kemanusiaan.

Peristiwa penubuhan UUM terjadi berikutan permintaan yang bertambah terhadap pendidikan tinggi dan kekurangan tempat di lima universiti tempatan yang sedia ada. Oleh itu, pada bulan Ogos 1983, kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menjalankan kajian kemungkinan dan menyediakan kertas kerja untuk projek universiti keenam ini. Projek universiti keenam ini mendapat kelulusan daripada Kabinet pada 19 Oktober 1983. Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah telah dilantik selaku Canselor UUM. Naib Canselor UUM yang pertama ialah Prof. Tan Sri Dato’ Awang Had Salleh.

Terdapat dua cawangan UUM, iaitu cawangan pertama di Sintok,Kedah yang juga merupakan kampus induk UUM manakala kampus UUM kedua bertempat di Kuala Lumpur. Pada tahun 2008, UUM telah berjaya melakar sejarah dengan melakukan perubahan secara besar-besaran. Sebanyak 13 buah Fakulti telah digabungkan menjadi 3 buah kolej akademik yang masing-masing terdiri daripada Kolej Perniagaan (College of Business- COB),Kolej Sastera dan Sains (College of Arts and Sciences- CAS)dan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (College of Law, Government and International Studies- COLGIS).

Selain merupakan sebuah universiti yang terkemuka, UUM juga mempunyai banyak keunikan yang tersendiri iaitu kemudahan-kemudahan seperti University Inn dan EDC Hotel untuk kunjungan para pelancong. Di samping itu juga, UUM telah menyediakan sebanyak 600 unit rumah untuk kebajikan kakitangan yang berkhidmat untuk universiti tersebut. Sebahagian kawasan hutan simpannya seluas 107 hektar telah dimajukan oleh UUM sebagai salah satu tarikan pelancongan di wilayah utara dengan mewujudkan beberapa kemudahan seperti padang golf 9 lubang, litar go-kart antarabangsa, kawasan perkhemahan, lapang sasar menembak dan memanah, taman rusa, pusat ekuestrian dan sebagainya.

Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Universiti_Utara_Malaysia