MENU

Institut Perguruan (IPG) Kampus Darul Aman

Institut Perguruan (IPG) Darul Aman telah ditubuhkan pada 1 Jun 1990 di kampus Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Pada masa itu, sebanyak 218 orang pelajar, beberapa staf sokongan dan pensyarah dari Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur adalah peneraju awal institut tersebut.

Berkeluasan sebanyak 25 hektar, kampus ini terdiri daripada lapan buah bangunan akademik, sebuah bangunan pentadbiran, sebuah bangunan gerakerja kokurikulum (GERKO), sebuah bangunan Budisiswa, sebuah dewan besar dan sebuah bangunan pusat sumber. Terdapat juga prasarana-prasarana lain seperti surau, gelanggang permainan dan kemudahan sukan serta olahraga.

Kampus ini dikongsi bersama dengan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (lAB) yang menduduki dua buah bangunan akademik. Kursus Perguruan Asas Pengajian Sekolah Rendah Lima Semester dalam bidang Pengajian Melayu, Pengajian Inggeris, Pengajian Cina, Pengajian Agama Islam, Sains dan Matematik serta Matematik dan Muzik dikendalikan oleh institut ini manakala untuk sekolah menengah, institut ini mengendalikan Kursus Perguruan Lepas Ijazah dalam bidang Pengajian Melayu dan Sejarah, Pengajian Melayu dan Sastera, Perdagangan dan Perakaunan serta Perdagangan dan Ekonomi Asas. Di samping itu, Kursus Perguruan Lepas Diploma dalam bidang Sains telah diperkenalkan pada sesi 1995.

Kursus dalam perkhidmatan iaitu Kursus Sijil Perguruan Khas Satu Tahun (KSPK) dalam bidang Program Pengurusan Sumber Pengajaran Pembelajaran, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Pemulihan serta Bimbingan dan Kaunseling juga dikendalikan oleh institut ini. Selain itu, Kursus Dalam Perkhidmatan 14 Minggu dalam bidang Komputer Dalam Pendidikan dan Bimbingan dan Kaunseling turut diwujudkan. Pada bulan Julai 1996, Kursus Diploma Perguruan Khas (KDPK) telah diperkenalkan untuk menggantikan KSPK manakala Kursus Diploma Perguruan Malaysia telah diperkenalkan pada bulan Ogos 1996.

Kini, IPG KDA mempunyai tujuh buah jabatan yang terdiri Jabatan Ilmu Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Bahasa, Jabatan Sains dan Matematik, Jabatan Kajian Sosial, Jabatan Teknologi Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.

Source : http://ms.wikipedia.org/wiki/Institut_Pendidikan_Guru_Kampus_Darulaman